IBLIS...

Thursday, 21 July 2011





Cara bentengi iman daripada godaan Iblis

Ada cara dan doa Rasulullah untuk berlindung daripada syaitan 

DALAM Quran, jelas sekali Allah swt mendedahkan bahawa musuh manusia bukanlah manusia tetapi Iblis yang ingkar akan perintah-Nya untuk sujud kepada Adam.

Oleh kerana disingkirkan dari syurga, Iblis berjanji untuk membinasakan Adam dan anak cucunya hingga ke hari akhirat. Allah swt telah mengizinkannya.

Allah mengingatkan agar kita sentiasa berwaspada daripada pengaruh syaitan. Ia melihat dan hidup bersama kita tetapi kita tidak dapat melihatnya. Dia selalu mengacau sekalipun dalam solat. Ia menghiaskan kita dengan pelbagai maksiat.

Bagaimana kita dapat mengatasi, menolak segala rupa ancaman serta bisikannya yang mendorong kepada kesesatan?

Pertama, hendaklah kita menganggapnya sebagai musuh utama di dunia ini. Bahaya syaitan yang paling kita khuatiri ialah bahawa ia mengetahui kelemahan jiwa manusia.

Ulama telah memberikan pandangannya tentang dunia syaitan. Syaitan mempunyai zuriat sama seperti manusia sebagaimana yang difirmankan Allah yang bermaksud:

"Patutkah kamu mengambil ia dan turunan-turunannya sebagai pemimpin selain daripadaKu, sedang mereka adalah musuhmu?" -- Al-Kahf: 50.

Jika syaitan itu bukan daripada unsur malaikat tetapi serba sedikit ada menyerupainya. Tatkala Allah swt memerintah malaikat sujud kepada Nabi Adam
as, iblis terus menyampuk sambil berkata: "Patutkah aku tunduk dan sujud kepada makhluk yang dijadikan daripada tanah?'' Apabila iblis enggan melaksanakan
perintah Allah swt, maka ia terus disingkir daripada rahmat-Nya. Allah berfirman:

"Dia adalah dari golongan jin, maka ia menderhakai perintah Tuhannya." -- Al-Kahf: 50

Iblis bukan sahaja menderhakai Allah swt malah bersumpah dengan kekuasaan Allah bahawa ia akan tetap menggoda segala makhluk Allah melainkan hamba-Nya yang ikhlas dan taat. Al-Quran menyebut:

"Iblis menjawab: Demi kekuasaan Engkau, aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambaMu yang ikhlas di antara mereka (orang-orang yang telah diberi taufik untuk mentaati segala petunjuk dan perintah Allah)." -- Shaad: 82,83.

Justeru itu, Allah swt selalu mengingatkan kita akan godaan syaitan. Setiap insan ada syaitannya yang sering menggoda, menyesat dan menghiaskan baginya pelbagai maksiat.

Dalam hal ini, para ulama telah mengemukakan beberapa dalil. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah ra, yang berkata:

"Rasulullah saw telah keluar pada satu malam dari kamarku. Secara sepontan, aku berasa cemburu padanya. Apabila Rasulullah saw datang melihat keadaanku, maka Baginda pun bertanya: Apa yang telah terjadi padamu ya Aisyah? Adakah kamu cemburu padaku? Aku menjawab: Adakah aku pernah cemburu seperti yang aku hadapi sekarang? Rasulullah saw berkata: Adakah syaitanmu telah menguasaimu? Aku menjawab: Wahai
Rasulullah! Adakah syaitan bersamaku juga? Jawab Rasulullah: Ya.

"Aku teruskan pertanyaanku. Adakah syaitan juga bersamamu ya Rasulullah? Baginda menjawab: Ya, Tetapi Tuhanku telah melindungiku hinggalah aku terselamat daripadanya."

Ada juga sepotong hadis yang maksudnya: "Sesungguhnya syaitan itu masuk lari ke dalam tubuh anak Adam melalui saluran darahnya."

Syaitan mempunyai pelbagai cara perangkap dan komplot. Syaitan sangat suka menyesatkan orang-orang yang jahil atau kurang ilmu.

Ia menghiaskan mereka dengan amalan telek-menelek dan kepercayaan karut sehingga dapat menyakinkan manusia dengan ilmu ghaib.

Ia juga memperdaya orang-orang jahil supaya memberi fatwa tanpa pegangan ilmu yang sahih dan juga menyebarkan perkara bidaah serta memesongkan manusia dengan ajaran-ajaran sesat yang bertentangan dengan Islam.

Kita dapat mempertahankan hasutan dan tipu-daya syaitan dengan memohon perlindungan daripada Allah. Allah swt menyifatkan orang-orang yang bertakwa sahajalah yang dapat menentang ancaman syaitan daripada menembusi hatinya seperti firman-Nya:

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa apabila mereka ditimpa wasangka daripada syaitan mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahan mereka." -- Al-A'raaf: 201.

Tipu-daya syaitan itu lemah jika dinisbahkan dengan seorang Mukmin yang teguh imannya.

Apabila syaitan mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran, dirinya menjadi kecil seperti ukuran lalat dan apabila mendengar seruan azan pula, ia lari lintang-pukang dek ketakutan. Allah swt telah mengajar kita bagaimana kita dapat menolak syaitan sehingga ia mengundurkan dirinya. Allah berfirman:

"Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan syaitan, maka berlindunglah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." --
Al-A'raaf: 200.

Rasulullah saw juga telah mewasiatkan umatnya supaya membaca ayat al-Kursi sebelum tidur, seperti sabdanya yang bermaksud:

"Apabila salah seorang daripada kamu hendak tidur, maka bacalah ayat al-Kursi. Sesungguhnya dia sentiasa dalam jagaan Allah dan syaitan tidak akan mengganggunya sehinggalah waktu fajar."

Terdapat juga doa-doa menentang godaan syaitan iaitu seperti doa Rasulullah yang berbunyi: "Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna daripada kemarahan-Nya, seksaanNya, kejahatan hamba-Nya dan juga daripada bisikan-bisikan syaitan."

Oleh MOHD YUSOP HASSIM Penulis khas

Panduan untuk menjadi Isteri Soleh



Dari Aisyah ra yang menceritakan; Aku bertanya Rasulullah; "Siapakah yang paling besar haknya ke atas seorang perempuan?". Jawab Nabi; "Suaminya". Aku bertanya lagi; "Siapakah yang paling besar haknya ke atas seorang lelaki?". Jawab Nabi; "Ibunya". (HR al-Hakim)

Pada suatu hari seorang wanita bernama Zainab yang bergelar Khatibatin-nisa’ telah menemui Rasulullah SAW lalu berkata: "Aku telah diutus oleh kaum wanita kepada engkau. Jihad yang diwajibkan oleh Allah ke atas kaum lelaki itu, jika mereka luka parah, mereka mendapat pahala. Dan jika mereka gugur pula, mereka hidup disisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. Manakala kami kaum wanita, sering membantu mereka. Maka apakah pula balasan kami untuk semua itu?"
Bersabda Rasulullah SAW:
"Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita, bahawasanya TAAT KEPADA SUAMI SERTA MENGAKUI HAKNYA adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, TETAPI SANGAT SEDIKIT DARIPADA GOLONGAN KAMU YANG DAPAT MELAKUKANNYA." (Riwayat Al-Bazzar dan Ath-Thabrani)
Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seorang wanita redha atas kehamilannya dari suaminya yang sah, sesungguhnya ia telah mendapat ganjaran pahala seperti ibadah puasa dan mengerjakan ibadah-ibadah lainnya dijalan Allah; dan jika ia merasa berat, letih atau lesu, tidaklah dapat dibayangkan oleh penghuni langit dan bumi, betapa kesenangannya disediakan oleh Allah di hari akhirat nanti. Apabila anaknya lahir, maka dari setiap teguk air susu yang dihisap oleh anak, si ibu mendapat kebajikan pahala. Apabila si ibu berjaga malam (kurang tidur kerana anak) maka si ibu mendapat ganjaran pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba sahaya kerana Allah.” (HR Ibn Hibban)

Seorang perempuan datang bertanya kepada Rasulullah SAW serta menerangkan katanya: “ Sesungguhnya sepupuku meminangku, maka sebelum aku berumah tangga , ajarkanlah kepadaku, apakah hak suami terhadap isterinya? Rasulullah SAW menjawab: “ Sesungguhnya hak suami terhadap isterinya sangatlah besar, sehingga apabila mengalir darah hidung atau nanah suaminya, lalu dijilat isterinya, masih belum terbayar hak suaminya itu. Dan jika sekiranya manusia dibolehkan sujud kepada manusia, nescaya aku perintahkan si isteri untuk sujud kepada suaminya.”(HR. Al-Hakim)

Rasul Allah bersabda, "Jika seorang suami memanggil isterinya datang ke katilnya (iaitu untuk hubungan kelamin) dan dia menolak, dan menyebabkan suaminya tidur dalam kemarahan, malaikat-malaikat akan mengutuknya hingga waktu pagi. (HR Bukhari)

Nabi saw. bersabda, ”Jika seorang suami itu memanggil isterinya kerana berhajat kepadanya, maka pergilah kepadanya walaupun ketika itu dia sedang membakar roti.” (Diriwayatkan oleh Ahmad, al-Nasa-ie dan al-Tirmizi)

Nabi saw. bersabda, ”Seorang isteri itu belum menunaikan hak Allah selagi dia tidak menunaikan hak suaminya, jika suami berhajat kepadanya sedangkan dia berada di belakang tunggangan, maka janganlah dia menolak.” (Diriwayatkan oleh al-Thabarani)

"... perempuan yang solehah mestilah taat dan memelihara kehormatan dirinya ketika ketiadaan suaminya dengan perlindungan Allah…” (Surah an-Nisaa’, ayat 34)

Rasulullah bersabda,, “Dan sebaik-baik wanita ialah mereka yang boleh mengembirakan engkau apabila kamu melihatnya, dan yang mentaati kamu apabila kamu menyuruhnya, dan dia memelihara maruah dirinya dan harta engkau ketika ketiadaanmu". (HR Nasa'i, Baihaqi, Ahmad dan al-Hakim )

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Aku melihat ke dalam Syurga maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah fuqara’ (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam Neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penghuninya adalah wanita.” (Hadis Riwayat Al- Bukhari dan Muslim)

Sabda Rasulullah s.a.w : “Allah tidak akan melihat kepada wanita yang tidak mensyukuri apa yang ada pada suaminya dan tidak merasa cukup dengannya.” (HR Nasa’i)

Sabda Rasulullah s.a.w : “Wanita yang meminta cerai pada suaminya tanpa sebab (yang syar’ie) maka haram baginya mencium wangi Syurga.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi )

Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w menjelaskan tentang wanita penghuni Neraka, baginda bersabda : “ … dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya mereka telanjang, melenggak-lenggokkan kepala mereka kerana sombong dan berpaling dari ketaatan kepada Allah dan suaminya, kepala mereka seakan-akan seperti bunggul unta. Mereka tidak masuk Syurga dan tidak mendapatkan wanginya Syurga padahal wanginya boleh didapati dari jarak perjalanan sekian dan sekian.” (Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad)
Di dalam kisah solat gerhana matahari, Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya melakukan solat gerhana padanya dengan solat yang panjang , Rasulullah s.a.w melihat Syurga dan Neraka. Ketika beginda melihat Neraka beginda bersabda kepada para sahabatnya: “ … dan aku melihat Neraka maka tidak pernah aku melihat pemandangan seperti ini sama sekali, aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita. Para sahabat pun bertanya : “Mengapa (demikian) wahai Rasulullah?” Baginda s.a.w menjawab : “Kerana kekufuran mereka.” Kemudian ditanya lagi : “Apakah mereka kufur kepada Allah?” Baginda menjawab : “Mereka kufur terhadap suami-suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya. Kalaulah engkau berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka selama waktu yang panjang kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu (yang tidak dia sukai) nescaya dia akan berkata : ‘Aku tidak pernah melihat sedikitpun kebaikan pada dirimu.’ ” (Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari)

Ketika beginda selesai berkhutbah hari raya yang berisikan perintah untuk bertakwa kepada Allah s.w.t. dan anjuran untuk mentaatiNya. Baginda pun bangkit mendatangi kaum wanita, baginda menasihati mereka dan mengingatkan mereka tentang akhirat kemudian baginda bersabda : “Bersedekahlah kamu semua. Kerana kebanyakan kamu adalah kayu api Neraka Jahanam!” Maka berdirilah seorang wanita yang duduk di antara wanita-wanita lainnya yang berubah kehitaman kedua pipinya, dia pun bertanya : “Mengapa demikian, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab : “Kerana kamu banyak mengeluh dan kamu tidak taat terhadap suami.” (Hadis Riwayat Al- Bukhari)

Rasulullah bersabda, "Apabila seorang isteri menjaga solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan taat kepada suaminya, maka ketika berada di akhirat dikatakan kepadanya: Masuklah kamu ke dalam syurga dari pintu mana saja yang kamu suka". (HR Ahmad)

Nabi bersabda , “Mana-mana perempuan yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha padanya, maka dia akan masuk syurga”. (HR At-Tirmidzi)

ibu pembohong!!!!:'(

Wednesday, 20 July 2011


Memang sukar untuk org lain percaya, tapi itulah yang berlaku, ibu saya memang seorang pembohong!
Sepanjang ingatan saya, sekurang-kurangnya 8 kali ibu membohongi saya.
Saya perlu catatkan segala pembohongan itu untuk menjadi renungan dan panduan anda semua.
Ambillah iktibar daripadanya dan hayatilah sebaiknya kerana itulah ibuku!
01.PEMBOHONGAN IBU YANG PERTAMA - Cerita ini bermula ketika saya masih kecil. Saya lahir sebagai seorang anak lelaki dalam sebuah keluarga yang miskin.
Makan minum serba kekurangan. Kami sering kelaparan.
Ada kalanya selama beberapa hari kami terpaksa makan berlaukkan seekor ikan masin dikongsi 1 keluarga.
Sebagai anak yang masih kecil, saya sering saja merungut. Saya menangis mahukan nasi dan lauk yang banyak. Tapi mak cepat memujuk.
Ketika makan, mak sering memberikan bahagian nasinya untuk saya.
Sambil memindahkan nasi ke mangkuk saya, mak berkata: "Makanlah nak, mak tak lapar.".
02.PEMBOHONGAN IBU YANG KEDUA - Ketika saya mulai besar, mak yang gigih sering meluangkan waktu senggangnya untuk pergi memancing di tali air berhampiran rumah.
Mak berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan untuk pembesaran kami adik-beradik.
Pulang memancing, mak memasak gulai ikan yang segar dan mengundang selera.
Sewaktu saya memakan gulai ikan itu, mak duduk di samping kami dan memakan sisa daging ikan yang menempel di tulang daripada bekas sisa ikan yang saya makan tadi.
Saya sedih melihat mak seperti itu.
Hati saya tersentuh, lalu dengan menggunakan sudu, saya memberikan ikan itu kepada mak. Tetapi mak dengan cepat menolaknya. Mak berkata: "Makanlah nak, mak tak suka makan ikan."
03.PEMBOHONGAN IBU YANG KETIGA - Di usia awal remaja, saya masuk sekolah menengah. Mak pergi ke kedai dengan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara persekolahan saya, abang dan kakak.
Suatu dinihari, lebih kurang 1.30 pagi, saya terjaga dari tidur.
Saya melihat mak sedang membuat kuih bertemankan sebuah pelita di hadapannya. Beberapa kali saya lihat kepala mak terhangguk kerana terlalu mengantuk.
Saya berkata: "Mak, tidurlah, esok pagi mak kena pergi kebun pula." Mak tersenyum dan berkata: "Cepatlah tidur nak, mak belum mengantuk lagi."
04.PEMBOHONGAN IBU YANG KEEMPAT - Di hujung musim persekolahan, mak meminta cuti kerja supaya dapat menemani saya pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting.
Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai menyinari, mak terus sabar menunggu saya di luar dewan.
Mak sering kali saja tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Ilahi agar saya lulus ujian peperiksaan ini dengan cemerlang.
Ketika lonceng berbunyi menandakan ujian sudah selesai, mak dengan segera menyambut saya dan menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya.
Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih sayang mak yang jauh lebih kental.
Melihat tubuh mak yang dibasahi peluh, saya segera memberikan cawan saya itu untuk mak dan menyuruhnya minum.
Tapi mak cepat-cepat menolaknya dan berkata: "Minumlah nak, mak tak haus."
05.PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA - Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas adik saya baru beberapa bulan dilahirkan, maklah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga.
Mak bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi dan berjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan.
Tapi apalah sangat kudrat seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan susah.
Melihat keadaan keluarga yang semakin parah, seorang pakcik yang baik hati dan tinggal berjiran dengan kami, datang membantu mak.
Anehnya, mak menolak bantuan itu.
Jiran-jiran sering menasihati mak supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yang akan menjaga mak dan mencarikan wang untuk kami sekeluarga.
Tetapi mak yang memang keras hatinya tidak mengendahkan nasihat mereka.
Mak berkata: "Saya tidak perlukan cinta, saya tidak perlukan lelaki."
06.PEMBOHONGAN IBU YANG KEENAM - Setelah kakak dan abang habis belajar dan mulai bekerja, mak sudah pun tua.
Kakak dan abang menyuruh mak supaya berehat saja di rumah. Tidak payahlah lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit, tetapi mak tidak mahu.
Mak rela pergi pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi kekperluan hidupnya.
Kakak dan abang yang bekerja jauh di kota besar sering mengirimkan wang untuk membantu memenuhi keperluan mak, pun begitu mak tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut.
Malahan mak mengirim balik wang itu, dan mak berkata: "Jangan susah-susah, mak ada duit."
07.PEMBOHONGAN IBU YANG KETUJUH - Setelah tamat pengajian di universiti, saya melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana di luar negara.
Pengajian saya di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar.
Sarjana itu saya sudahi dengan cemerlang, kemudian saya pun bekerja dengan syarikat yang telah membiayai pengajian saya, juga di luar negara.
Dengan gaji yang agak lumayan, saya berhajat membawa mak untuk menikmati penghujung hidupnya di luar negara.
Pada pandangan saya, mak sudah puas bersusah payah untuk kami.
Hampir seluruh hidupnya habis dengan penderitaan, eloklah kalau hari-hari tuanya ini mak habiskan dengan keceriaan dan keindahan pula.
Tetapi ibu yang baik hati, menolak ajakan saya.
Mak tidak mahu menyusahkan anaknya ini dengan berkata: "Tak payahlah, mak tak biasa tinggal di negara orang."
08.PEMBOHONGAN IBU YANG KELAPAN - Beberapa tahun berlalu, mak semakin tua. Suatu malam saya menerima berita mak diserang penyakit kanser.
Mak mesti dibedah secepat mungkin. Saya menjenguk ibunda tercinta.
Saya melihat mak terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani pembedahan.
Mak yang kelihatan sangat tua, menatap wajah saya dengan penuh kerinduan.
Mak menghadiahkan saya sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpakas menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya.
Saya dapat melihat dengan jelas betapa penyakit itu telah memamah tubuh ibu sehingga mak menjadi terlalu lemah dan kurus.
Saya menatap wajah mak sambil berlinangan air mata.
Saya cium tangan mak, kemudian saya kucup pula pipi dan dahinya.
Di saat itu hati saya terlalu pedih, sakit sekali melihat mak dalam keadaan seperti ini.

Tetapi mak tetap tersenyum dan berkata-kata: "Jangan menangis nak, mak tak sakit."
Setelah mengucapkan pembohongan yang kelapan itu, ibunda tercinta menutup matanya untuk kali terakhir kali.
Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Anda boleh memeluk dan menciumnya.
Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya sekarang, dan berkata: MAK, SAYA SAYANGKAN MAK!
Tapi tidak saya. Sehingga kini saya diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana biarpun mengasihi mak lebih dari segala-galanya, tapi tidak pernah sekalipun saya membisikkan kata-kata itu ke telinga mak, sampailah saat mak menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Mak, maafkan saya. SAYA SAYANGKAN MAK...!!!
 
Template Design Downloaded From Free Blogger Templates | Free Website Templates | News and Observers